Isnin, 23 Julai 2018

0.0 KHORASAN AFGHANISTAN - PRELUDE

Kedatangan Tolwak pada Ramadhan yang lalu seakan-akan memberikan satu petunjuk untuk aku menjelajahi bumi Afghanistan yang tidak pernah terlintas dalam mimpi-mimpiku. Beliau yang menginap di rumahku beberapa malam melalui aplikasi Couchsurfing adalah berbangsa Pashtun dan berasal dari Afghanistan. Bapanya adalah bekas pejuang Mujahidin yang telah bertempur dengan tentera Soviet Union sekitar tahun 1980an. Setelah perang tamat, bapanya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Perancis dan meneruskan kehidupan di sana. Sepanjang hidupnya hanya 2 kali beliau pulang ke Afghanistan, iaitu sekitar 3 tahun lepas dan pada usia remajanya. Tolwak banyak menceritakan tentang asal usulnya dan keadaan semasa di Afghanistan. Cerita demi cerita diselang-selikan dengan gambar di telefon bimbitnya membuatkan aku semakin teruja untuk melihat dan merasai pengalaman sebenar di sana. Keluarganya di Mazari Sharif dan Kabul sangat berbesar hati untuk menyambut kedatangan para tetamu. Tambahnya lagi, sudah menjadi adat mereka untuk memuliakan tetamu sehinggakan sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi mereka. Ingatan mengenai Afghanistan sentiasa berlegar-legar di fikiranku setelah kepulangan Tolwak. Beliau yang pada awalnya menjanjikan untuk membantuku jika aku ke sana sudah mula memberikan jawapan tidak. Pesanan dari WhatsApp darinya mengatakan bahawa Taliban kini berada di setiap penjuru bandar-bandar utama dan pihak tentera kembali memperketatkan keselamatan. Aku buntu dan mula mencari jawapan dengan bertanyakan keadaan semasa kepada host di Couchsurfing dan membaca berita di media massa. Seperti yang dijangkakan, kenyataan di media massa banyak bercanggah dengan jawapan yang aku terima melalui host-host di Couchsurfing. Kata mereka ‘generally it is safe but danger is everywhere, you need to be cautious’. Ibuku tidak bersetuju tentang perancanganku untuk ke Afghanistan memandangkan isteriku sedang sarat mengandung anak pertama kami. Restu ayah telah membenarkan aku meneruskan perjalanan ini dengan katanya ‘biarlah dia sudah besar tahulah mana baik dan buruk’. Restu ayah ibu adalah penting untuk aku sebelum memulakan pengembaraan, kerana tanpa doa mereka siapalah aku nanti di sana.

Langkah pertama dimulakan dengan aplikasi visa yang dilakukan secara manual pejabat Afghanistan Embassy di Wisma Sin Heap Lee di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Terdapat hanya satu kaunter kecil di lobi menunggu dan aku dipanggil masuk ke dalam setelah mengisi borang visa yang diberikan. Ambassador banyak bertanyakan soalan berkaitan tentang perancanganku untuk ke Afghanistan. Ujarnya beliau tidak akan memberikan aku visa sehingga dapat merasakan aku akan selamat di sana. Kebanyakkan negara tidak menggalakkan perjalanan ke Afghanistan atas dasar keselamatan dan Malaysia tidak terkecuali. Aku menukarkan cerita dari tidak mempunyai rakan kepada mempunyai seseorang yang bakal menyambutku di sana. Gambar aku bersama Tolwak tempoh hari serta nombor telefonnya aku dedahkan kepada pegawai tersebut. Dan beliau mula menunjukkan reaksi positif dan memberitahuku bahawa visa akan siap beberapa hari lagi. Dengan bantuan Yeen dari Facebook BBM group, aku berjaya menghubungi pegawai yang lain untuk menguruskan visa dengan lebih cepat. Aku berjaya memperolehi visa keesokan harinya setelah mendeposit masuk RM320/USD80 ke akaun kedutaan untuk bayaran visa. Tugas seterusnya adalah memperoleh Visa India kerana tiada penerbangan terus ke sana dan perlu transit di New Delhi sebelum ke Kabul, Afghanistan. E-visa yang dipohon adalah untuk dua kemasukan memandangkan aku akan pulang ke Kuala Lumpur semula setelah selesai pengembaraanku di sana. Harga yang perlu dibayar adalah sama seperti Visa Afghanistan iaitu USD80. Untuk penerbangan masuk ke Kabul, aku telah membeli tiket penerbangan Kam Air iaitu syarikat penerbangan dari Afghanistan kerana ianya lebih murah dari Spice Jet, India. Perancanganku adalah untuk ke bandar-bandar utama iaitu Kabul, Mazari Sharif dan Herat. Sejak awal lagi aku sudah mula menghubungi host-host di Couchsurfing dan ternyata ianya membuahkan hasil dengan memperoleh host untuk ketiga-tiga bandar utama yang bakal ku lawati. Setiap tempat mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan aku menjangkakan sesuatu yang menarik di Herat memandangkan ianya berada di dalam wilayah Khorasan seperti mana disebut di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang kebangkitan Islam di akhir zaman bermula di Khorasan, dan wilayah Khorasan itu sangat besar melalui sesetengah pendapat meliputi sebagian Iran, Afghanistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgzstan. Hari yang dinanti telah pun tiba, semoga Allah memberkati pengembaraan ini.

Ahad, 22 Julai 2018

1.0 KHORASAN AFGHANISTAN – TRANSIT

Sehinggalah ke saat akhir aku masih lagi tidak dapat membuat keputusan untuk tempat penginapan semasa berada di New Delhi nanti. Membaca komen-komen negatif di website Agoda.com yang kebanyakkannya menceritakan keadaan hostel yang indah khabar dari rupa selain daripada kotor dan lokasi yang tidak tepat. Aku dijangka tiba sekitar tengah malam dan perlu mengelakkan untuk mengambil risiko sebegini. Aku tiba awal di KLIA2 dan mendaftar masuk seperti biasa. Di ruangan menunggu kelihatan banyak pelancong dari India dan India Malaysia memenuhi ruangan menunggy. Sempat juga berbual dengan seorang lelaki yang bersama rakan-rakannya yang bertujuan ke Kashmir, India. Penerbangan Air Asia ke New Delhi telah mengalami kelewatan selama 1 jam dan aku menganggarkan ketibaan akan sampai lewat dari jam 2300H dan ini bermakna perkhidmatan keretapi ke pusat bandar telah ditutup. Penerbangan selama 5 jam ke New Delhi berjalan lancar dengan tempat duduk hampir penuh. Pesawat Air Asia D7182 selamat mendarat pada jam 2230H. Aku terus mengambil beg galasku dan menuju ke pemeriksaan imigresen. Selepas mengisi Arrival Card, aku menuju ke kaunter E-Visa yang nampak lengang dan hanya berurusan selama 5 minit berbanding kaunter visa manual yang sesak. Balai ketibaan Terminal 3 Indira Gandhi sangatlah kecil dan aku lihat tidak banyak ruang yang disediakan untuk para penumpang transit. Mereka juga tidak boleh mendaftar masuk awal dari 4 jam waktu pelepasan. Penerbangan Kam Air ke Kabul adalah sekitar jam 1300H dan aku perlu mencari tempat untuk tidur. Hampir 1 jam aku cuba untuk tidur di atas kerusi yang berbonggol namun tidak berjaya. Aku terus keluar dari balai ketibaan dan ke pondok teksi untuk ke Aerocity yang jaraknya 5 km dari tempat menunggu. Setibanya di Fox Hotel, pelayan tetamu menyatakan yang harga bilik bermula dari INR6000/MYR350 dan aku cuba untuk meminta diskaun dan pegawainya datang memberikanku harga INR4000/MYR230 berserta sarapan pagi dan shuttle kembali semula ke lapangan terbang. Aku tidak banyak bersoal memandangkan jam sudah menunjukkan jam 0100H dan harganya adalah berpatutan untuk hotel bertaraf 3 bintang. Sebaik sahaja ke bilik, aku terus membersihkan diri, solat dan terus tidur.

Di lobi Foxy Hotel

Sabtu, 21 Julai 2018

2.0 KHORASAN AFGHANISTAN – MOHIBULLAH


Aku terbangun dari tidur sekitar jam 0800H dengan kepalaku sedikit pening. Aku menyelak langsir untuk membiarkan cahaya matahari masuk ke bilik. Merasakan masa masih lagi awal, aku mengambil telefonku dan bermain permainan online MLBB. Tidak lama kemudian aku pun bersiap-siap untuk sarapan pagi di lobi utama. Di cafe, aku makan sepuas-puasnya sebagai bekalan untuk tengah hari nanti. Antara menu yang disajikan adalah roti canai, tosai, dan capati. Tidak banyak berubah seperti makanan di kedai mamak di Malaysia. Ada juga manisan dan pelbagai kuah yang berasaskan sayuran. Setelah kenyang, aku berehat seketika di lobi sekadar memerhatikan gelagat warga tempatan yang menginap di hotel ini. Kemudian naik ke bilik dan bersiap-siap dan menuju ke lapangan terbang. Aku kembali semula ke Terminal 3 seterusnya mencari kaunter Kam Air untuk mendaftar masuk. Kelihatan ramai penumpang sudah beratur bersama barang-barang yang telah dibeli di sini. Kebanyakkan mereka adalah warganegara Afghanistan yang ke sini untuk bercuti dan membeli-belah dan pulang semula ke Kabul. Selesai mendaftar masuk aku menuju ke pemeriksaan imigresen India dan seterusnya menanti di ruangan menunggu. Perasaanku sentiasa berdebar-debar memikirikan tentang apakah yang bakal menantiku di Afghanistan. Pelepasan pesawat Kam Air lewat 30 minit dari waktu jadual. Pesawat ini kelihatan usang seperti mana bacaanku tentang komen para penumpang di internet. Sempat juga aku melelapkan mata sebelum menikmati hidangan yang disajikan oleh krew kapal. Makanannya adalah berupa nasi, ayam gulai dan roti. Akhirnya pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Hamid Karzai, Kabul setelah 2 jam perjalanan. Kelihatan banyak helikopter tentera di letakkan berhampiran hangar berdekatan. Pesawat-pesawat komersil dari Emirates, Spice India dan Flydubai juga kelihatan di parking bay. Di kaunter imegresen, pegawai bertugas bertanyakan tentang visa Afghanistan di passportku yang tidak dicop. Alhamdulillah beliau mempermudahkan urusan setelah aku memberitahu kedatangan ke sini adalah untuk menziarahi kawan. 

Aku terus melangkah kaki keluar dari terminal antarabangsa dan menuju ke terminal domestik yang berada di bangunan sebelah. Di sini aku membeli simcard Roshan yang berharga USD5 dari kedai serbaneka dan segera menghubungi Mohibullah Couchsurfing untuk memberitahu ketibaanku disini. Aku kemudiannya menukarkan wang USD100 kepada matawang disini iaitu Afghani. Kadar tukaran adalah AFN70 untuk USD1. Keadaan cuaca disini sememangnya panas dan kering dengan suhu sekitar 35deg C di altitud 1700m dari aras laut. Tidak lama kemudian Mohibullah pun sampai menjemputku. Kami berjalan keluar dari lapangan terbang dan menuju ke Dataran Masoud untuk mengambil kereta sewa pulang ke rumahnya. Keadaan di jalanan agak berdebu dengan trafik yang begitu sesak. Kebanyakkan bangunan kerajaan, kedutaan dan bank telah dibina tembok yang sangat tinggi disertai dengan kawat-kawat duri. Sangkaanku ianya adalah penjara namun Mohibullah berkata sebaliknya. Kami menuju ke rumah Mohibullah di Kampung Alukhel yang terletak 10km dari pusat bandar. Keadaan jalan tanah yang masih dalam pembinaan membuatkan kami terpaksa menaikkan tingkap kereta untuk mengelakkan debu yang berterbangan masuk ke dalam. Setelah hampir 30 minit kami pun berhenti di tepi jalan dan berjalan kaki sejauh 500 meter melalui kebun-kebun dan rumah orang kampung sebelum sampai di rumahnya. Rumahnya adalah 2 tingkat dan sangat besar. Bilik tetamu terletak di bahagian atas dilengkapi dengan tandas dan sangat luas. Di sini kami berkesempatan untuk berbual dan bertukar fikiran sambil menikmati air manisan yang dihidangnya. Beberapa tahun yang lalu beliau belajar di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak dan telah berjaya menamatkan Ijazah Perniagaan. Dan sekarang beliau sedang bekerja dengan sebuah bank di bandar. Memandangkan gaji yang rendah di negara ini beliau berhajat untuk mencari peluang-peluang lain di luar negara. Bapanya dahulu adalah bekas pejuang Mujahidin yang berperang dengan Soviet Union semasa perang sekitar 1980an. Mereka sekeluarga telah berpindah sementara ke Pakistan pada waktu tersebut sebelum pulang kembali ke sini beberapa tahun lalu. Setelah kami solat Maghrib, sahabat bapanya yang datang dari Kandahar tiba untuk bermalam di sini. Adiknya, Abu Zhar datang membawa makan malam yang lazat berupa nasi, sayur bendi goreng dan dough ataupun air yogurt. Mereka sempat juga berbual denganku dengan bantuan terjemahan dari Mohibullah. Antara soalannya adalah mengapa datang ke sini serta sedikit sebanyak tentang kehidupanku di Malaysia. Tidak lama kemudian aku pun tidur di ruang tamu yang luas dengan hanya beralaskan karpet dan bantal.


Mendaftar masuk di kaunter

RQ 916

Pemandangan aerial beberapa minit sebelum mendarat

Selamat sampai di Kabul!

Rumah keluarga Mohibullah

Jumaat, 20 Julai 2018

3.0 KHORASAN AFGHANISTAN – KABUL

Fajar sudah pun menyingsing seawal jam 0500H membuat suasana di bilik tetamu menjadi cerah. Mata yang celik tidak mampu lagi untuk dipejam lagi. Setelah menyiapkan dari kami bergerak keluar ke bandar Kabul dengan menanti kereta sewa di tepi jalan besar. Aliran trafik di pagi hari agak sesak dengan orang berpusu-pusu ke tempat kerja. Akhirnya kami berhenti di Majid Mall dan berpecah membawa haluan masing-masing. Mohibullah berpesan kepadaku untuk menghubunginya jika terdapat sebarang masalah. Dengan panduan aplikasi Maps.me aku melalui Butcher Street untuk ke Bibi Mahroo Park. Orang kebanyakkan di sini nampaknya tidak mempedulikan penampilan aku yang sama seperti mereka. Mohibullah meminjamkanku Perahan Tunban iaitu pakaian kebiasaan yang dipakai oleh bangsa Pashtun disini. Dengan erti lain mereka seolah-olah menganggapku seperti warga tempatan, dan ini adalah satu kelebihan untukku bebas bergerak kemana sahaja tanpa mendapat perhatian. Walaupun begitu aku sedikit cuak memerhatikan terdapat banyak pondok kawalan keselamatan di simpang-simpang utama. Pastinya aku tidak mahu ditahan dan disoal-siasat oleh pasukan tentera Afghanistan. Aku kemudian membeli sedikit roti dan air soya sebagai sarapan sebelum mendaki bukit Bibi Mahro. Tercungap-cungap juga aku untuk sampai ke puncak bukit namun ianya berbaloi untuk menikmati pemandangan hampir keseluruhan bandar Kabul. Di bukit ini terdapat sebuah kolam renang yang telah dijadikan tempat Taliban menjalankan hukuman bunuh sewaktu zaman pemerintahan mereka. Bandar Kabul juga terdapat beberapa Airship yang kata Mohibullah dilengkapi kamera pengawasan untuk memantau aktiviti dan keselamatan di sini. Kerap kali aku mendengar deruman helikopter jenis Chinook yang bergerak aktif di ruang udara Kabul. Sempat juga aku menyapa Karim, iaitu jurufoto yang sedang santai di sini sambil bermain karom bersama dengan temannya. Mereka akan menawarkan khidmat mengambil foto kepada para pengunjung dengan bayaran sekeping gambar dengan harga AFN10. Sedikit sebanyak dapat juga aku berinteraksi dengannya walaupun beliau tidak fasih berbahasa Inggeris. Setelah puas mengambil gambar dan bersantai disini aku pun turun menuju ke Chicken Street.

Di sini adalah tempat yang popular untuk membeli barang antik dan cenderamata mewah. Dengan perut yang lapar aku berhenti di sebuah gerai di sini untuk menikmati Bulani dan Samosa sekadar mengalas perut. Pos kawalan keselamatan dilihat semakin banyak di kawasan pusat bandar terutama bangunan-bangunan rasmi kerajaan dan kedutaan. Ini adalah kerana kawasan-kawasan ini sering menjadi sasaran pengganas. Dan laluan perjalanan aku akan sentiasa untuk mengelakkan dari melalui kawasan-kawasan ‘panas’ ini. Dengan cuaca yang panas dan kering, aku mengingatkan diriku untuk minum dengan lebih kerap untuk kekal hidrat. Perjalananku diteruskan ke Masjid Shah-Do Shamshira dengan menaiki teksi kuning memandangkan aku keletihan berjalan. Untuk perjalanan sejauh 2.5km aku perlu membayar AFN250 dan ianya sangat murah. Masjid Shah-Do Shamshira telah dibina sekitar 1920an sewaktu pemerintahan Amanullah Khan dan rekabentuknya sama seperti Masjid Ortakoy di Istanbul. Bayaran yang minima diperlukan untuk memasuki tandas masjid dan ianya adalah kebiasaan disini. Airnya sejuk sungguh menyegarkan sewaktu aku mengambil wudhu. Setelah selesai solat Zuhur, aku menuju ke bazar di sepanjang Darya E-Kabul iaitu Sungai Kabul. Antara yang dijual disini adalah barangan keperluan harian, pakaian dan makanan. Terdapat juga orang persendirian yang menukarkan wang di satu bahagian lain. Bazar yang sesak dengan warga tempatan membuatkan aku asyik merakamkan gelagat mereka dan menikmati suasana di sini. Aku cuba untuk memasuki Makam Timur Shah Duranni yang berdekatan bazar namun gagal kerana telah ditutup kepada lawatan orang ramai. Timur Shah Durrani adalah pemerintah Kerajaan Duranni sekitar tahun 1750an yang menjadikan Kabul sebagai ibu negara Afghanistan. Sempat juga aku berhenti untuk minum perahan air limau sebelum meneruskan langkah kaki ke Ka Faroshi Bird Market.

Di sini terdapat pelbagai jenis burung yang dijual dan inilah pasar burung terbesar yang pernah ku lawati. Sesekali aku membersihkan hidung untuk membuang bulu-bulu burung yang berterbangan masuk ke rongga hidungku. Naweed Couchsurfing menghantar pesanan untuk berjumpa sekitar Majid Mall dan aku segera ke sana. Hampir 30 minit juga aku menantinya sebelum kami masuk ke cafe berhampiran. Beliau adalah seorang doktor dan sedang menyambung Ijazah Sarjana untuk bidang kepakaran kedoktoran. Mohibullah juga sampai tidak lama kemudian dan kami pun terus berjalan ke Dataran Masoud untuk mengambil kereta sewa. Kakiku teruk melepuh dan melecet akibat sandal yang sentiasa berpeluh dan bergesel dengan kulit. Sempat juga kami berhenti di pejabat agensi pelancongan untuk memeriksa harga tiket penerbangan Kabul ke Mazar-E Sharif yang harganya berlegar-legar sekitar AFN5500 oleh Kam Air. Mohibullah sangat menyarankan aku untuk mengambil penerbangan ke Mazar atas faktor keselamatan berbanding bas. Di jalan utama kelihatan trafik sangat sesak sepertimana keadaan pada pagi tadi. Sebaik sahaja tiba dirumah, aku dihidangkan air sirap dan buah apricot segar. Inilah kali pertama aku menikmati buah apricot segar kerana kebiasaannya ianya telah dikeringkan. Kami menanti sahabat bapanya, Abdul Bari sebelum menikmati juadah makan malam. Malam ini topik perbincangan bersama Mohibullah adalah sedikit berat berkisar tentang keadaan geopolitik dunia. Abdul Bari juga banyak bertanyakan kepadaku tentang kaedah-kaedah pertanian yang biasa dipraktikkan di Malaysia kerana beliau ingin mempraktikkannya di Kandahar. Dan juga soalan mengenai penggalian telaga air untuk tanamannya sambil menunjukkan gambar tanah beliau. Aku juga berkongsi akan gambar-gambar tentang diriku yang terdapat di dalam telefon bimbit untuk menghangatkan lagi topik perbincangan. Abu Zhar yang tekun mendengar dari jauh membawa chai untuk kami nikmati sambil bersembang sebelum masuk tidur.

Menanti kereta sewa untuk ke bandar

Bersama Karim di Bibi Mahroo Park

Pemandangan bandar Kabul

Di jalanan sekitar Chicken Street

Masjid Shah-Do Shamshira

Masjid Shah-Do Shamshira

Kabul Bazaar

Ka Faroshi Bird Market

Pulang ke rumah Mohib

Khamis, 19 Julai 2018

4.0 KHORASAN AFGHANISTAN – GRAVEYARD OF EMPIRES

Pagi ini aku bangun bersiap dan sarapan pagi bersama Abdul Bari. Mohib tidak bekerja pada hari ini dan akan bersamaku untuk ke Panjshir Valley. Kami semua bergerak sekali menaiki kereta sewa dan berhenti berhampiran Makam Timur Shah Duranni. Di sini bazaarnya banyak menjual barangan terpakai. Aku ingin membeli sandal yang baru kerana kedua-dua belah kakiku melecet kerana sandal yang aku pakai sekarang mungkin tidak sesuai. Kata Mohib kami perlu cepat kalau mahu ke sana kerana ia mengambil masa yang lama. Tiada sistem pengangkutan yang sistematik disini terutamanya di dalam kawasan bandar. Bas-bas kebanyakkannya untuk perjalanan yang jauh dan mengambil masa yang panjang kerana sistem muka bumi dan keadaan jalan raya yang tidak sempurna. Mohib mengambil kereta sewa untuk ditempah khas bagi perjalanan pergi dan balik ke Panjshir. Sepanjang perjalanan kelihatan banyak perkampungan dan ladang penduduk setempat. Disebahagian kawasan terdapat tinggalan perang seperti kereta kebal dan perisai yang digunakan oleh tentera Soviet dahulu. Akhirnya setelah 4 jam kami tiba di Panjshir yang jaraknya hanyalah 160km namun disebabkan kesesakan trafik di bandar-bandar kecil serta 2 pos kawalan yang kami lalui membuatkannya lebih banyak masa yang diperlukan. Lembah ini telah menyaksikan perang diantara Soviet/Afghanistan melawan Mujahidin diantara 1980-85 dan Taliban melawan Northern Alliance pada masa 1996-2001. Kedua-dua pihak lawan gagal menakhluki kawasan lembah ini yang diketuai oleh Commander Massoud. Jadi tidak hairanlah mengapa banyak gambar beliau diletakkan dimana-mana di sekitar kawasan ini dan juga di bandar Kabul. Mereka menganggapnya sebagai seorang hero. Lembah ini juga adalah tempat perlombongan perak dan batu permata pada suatu masa dahulu. Nama Panjshir itu sendiri bermaksud 5 Singa yang merujuk kepada 5 Wali yang pernah mendiami lembah ini. Hentian pertama kami selepas perjalanan yang memenatkan ini adalah Makam Massoud. Beliau telah meninggal dunia akibat serangan berani mati yang dirancang oleh Taliban/Al-Qaeda pada Sept 2001 iaitu beberapa hari sebelum terjadinya tragedi besar di World Trade Center di USA. Serba sedikit tentang sejarah hidupnya adalah dilahirkan dan dibesarkan di lembah ini dari etnik Tajik Sunni Muslim. Nama sebenarnya Ahmad Shah Massoud. Menyertai Jamiat Islami dalam melawan Soviet Union/Afghanistan dan United Islamic Front/Northern Alliance dalam memerangi Taliban/Al-Qaeda. Rumusan pendek mengenai sejarah Afghanistan adalah sekitar tahun 1800-800SM, agama Zoroastrianism dipercayai telah berada di sini. 600SM kerajaan Achaemenids Parsi menjatuhkan kerajaan Medes. 300SM Alexander the Great mula menakhluki diikuti Greco-Bactrians. Di awal tahun 100an dikuasai oleh Kushan Empire yang meluaskan pengaruh Hindu ke kawasan ini. Buktinya adalah patung besar Buddha Bamiyan sebelum dimusnahkan oleh Taliban. Pada abad ke-3 diganti oleh Sassanid dan kemudiannya oleh Turk Shahi sekitar 700an. Islam mula datang ke Afghanistan melalui Herat sekitar 600an dan penyebaran Islam lebih meluas selepas penakhlukan oleh Saffarid Muslims sekitar 800an. Ghaznavids muncul 1000an kemudiannya Ghurids yang telah membina Minaret of Jam di wilayah Ghor. Genghis Khan mula menguasai 1200an kemudiannya Timurid pada lewat 1300an. Empayar Mughal pada 1500an. Diantara 1600-1800 Uzbek Khanate Bukhara, Iranian Safavids, and Indian Mughals telah menguasai empayar ini. Sebelum 1900an bahagian barat laut Afghanistan telah dikenali sebagai Khorasan dengan Herat dan Balkh menjadi salah satu kota penting. Afghanistan itu terbentuk hasil daripada diantara bahagian penting Khorasan dan Hindustan. Empayar Hotak dan Duranni menguasai diantara 1700-1800an sebelum British mula meluaskan pengaruhnya ke sini pada awal 1800an. 1978-1992 menyaksikan peperangan diantara kerajaan pertama Afghanistan selepas pemusnahan sistem monarki diantara Soviet Union dengan Mujahidin. 1989-1996 perang saudara diantara panglima perang yang akhirnya dikuasai oleh Taliban. 1996-2001 perang diantara Taliban dan Northern Alliance (iaitu gabungan parti-parti yang menentang Taliban). Pada masa inilah USA datang untuk membantu Northern Alliance untuk memerangi Taliban/Al-Qaeda. Selepas 2002, Hamid Karzai telah dilantik menjadi Presiden. Namun sehingga ke hari ini Taliban masih tidak lumpuh sepenuhnya dan menguasai sebahagian kawasan di Afghanistan.  

Kami terus berjalan-jalan masuk ke kompleks makam dan menziarahi makam sebelum bersiar-siar ke kawasan sekitar. Pemandangan yang cantik dengan lembah menghijau berlatar belakangkan gunung yang tandus. Sungai Panjshir mengalir laju menjadi sumber air utama bagi penduduk di kawasan ini. Kata Mohib sejak projek empangan dibina air sungai ini sudah mula bertukar warna dari warna asalnya yang kebiruan. Mohib juga mengambil video pendek tentang diriku untuk dihantar ke media sosial. Ujar beliau aku adalah seorang yang gila kerana tiada orang yang mahu datang ke Afghanistan atas tujuan melancong. Kami kemudiannya turun ke Sungai Panjshir untuk mandi. Aku yang pada mulanya agak segan namun kalah dengan ajakkan Mohib. Airnya sejuk dan menyegarkan. Kami kemudian mengambil buah mulberi segar yang pokoknya berhampiran tebing sungai. Nikmat yang tak terkata membuatkan terus ke bawah pokok untuk menyambut buah-buah yang berguguran sebaik sahaja pemandu kereta sewa kami menggoncangkan dahan-dahan pokok itu. Aku ketawa kegembiraan melihat buah mulberi yang sukar didapati akhinrya bertaburan di atas rumput. Mohib kemudian mula memotong melon yang dibeli di tepi jalan sebagai makan tengah hari. Inilah namanya pengalaman manis dengan rasa yang manis melon. Setelah kesejukkan mandi kami bersiap dan sembahyang Zuhur di tebing sungai. Dalam perjalanan balik Mohib bertanyakan kepadaku samaada aku mahu tinggal disini? Jawabku sudah tentu ya. Kumpulkan sedikit duit, beli sebidang tanah bina rumah dan hidup gembira disini. Aku dapat rasakan ketenangannya semasa berada lembah ini. Kami berhenti sebentar dalam perjalanan pulang ke Kabul untuk makan Sheer Yakh atau Kulfi iaitu aiskrim traditional yang popular. Ianya adalah susu lembu yang dicampurkan pemanis dan disejukkan secara manual di dalam bekas besi yang besar. Akhirnya kami selamat tiba di bandar Kabul dan membayar kereta sewa pada harga AFN1000/MYR60. Tambang kereta sewa sememangnya murah disini untuk perjalanan yang jauh. Kami kemudiannya menyambung perjalanan pulang dan selamat tiba di Kampung Alukhel. Ketibaanku kali ini disambut abangnya Khairullah yang bekerja sebagai HR di sebuah syarikat swasta. Kami banyak berbual mengenai budaya dan cara hidup orang Afghan yang kebanyakkannya adalah dari bangsa Pashtun dan ikuti Tajiks. Kebanyakkan orang muda menyokong prinsip kerajaan sekarang dimana mengambil nasihat dan khidmat dari luar, US dan Eropah terutamanya. Walhal sebahagian dari golongan pertengahan dan tua masih menyokong Taliban dimana mereka tidak mahu bekerjasama dengan pihak kufar. Jadi tidak hairanlah kenapa Taliban masih lagi berkuasa sehingga ke hari ini. Katanya taraf hidup di sini sangat tinggi dengan gaji yang sangat murah. Jadi rakyat banyak terkesan dan mengakibatkan kebanyakkan orang dari luar Kabul berpindah ke sini untuk mencari pekerjaan. Bandar ini telah menjadi sangat padat dengan fasiliti dan kemudahan yang serba kekurangan. Beliau banyak mengajakku untuk berjalan-jalan ke kawasan sekitar berhampiran Kabul dan yang paling cantik katanya adalah Badakhshan iaitu wilayah hujung Afghanistan yang bersempadan dengan China, Pakistan dan Tajikistan. Di sini jugalah terdapatnya Wakhan Corridor yang perjanjiannya ditandatangani sekitar 1900an. Ujarnya lagi para penduduk dikawasan ini tidak mengetahui langsung tentang perang yang telah berlaku di dalam negara. Ini kerana mereka hanya sibuk dengan kedamaian dan kebahagiaan hidup mereka sendiri ditambah pula dengan kawasan yang bergunung-ganang. Kami meneruskan perbincangan sehingga makan malam sebelum masuk tidur. Sesungguhnya Afghanistan mempunyai daerah-daerah yang mendamaikan dengan akses yang sangat terhad. Sangat memerlukan seseorang lokal untuk terus meneroka dan teroka. 

Pemandangan menuju ke Panjshir Valley

Makam Massoud

Papan tanda pembinaan

Pemandu kami yang sedang makan Mulberi

Syurga Mulberi

Tempat kami berkelah

Sungai Panjshir

Pembuatan Kulfi secara manual

Aiskrim Kulfi

Rabu, 18 Julai 2018

5.0 KHORASAN AFGHANISTAN – KABUL'S THUNDER

Pagi ini aku bergerak keluar bersama Mohib dan Khairullah. Dia bertanyakan tentang langkahku yang tidak seperti kebiasaannya. Aku hanya menjawab yang kakiku melepuh. Walaupun semalam aku kurang berjalan namun kesan melepuh semakin teruk. Mohib dan aku berhenti berhampiran bazaar dan aku meneruskan perjalanan ke Makam Timurid untuk mencari semula tempat menjual sandal terpakai. Akhirnya aku berjaya mendapatkan mendapatkan sandal North Face yang lebih selesa dengan harga AFN400/MYR20. Sandal lama aku berikan kepada pakcik untuk dia jualkan, tersenyum dia. Aku terus berjalan menuju ke Masjid Eid Gah. Ianya dibina oleh pemerintah Empayar Mughal di era kegemilangan empayar tersebut. Ianya dijadikan tempat untuk sembahyang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha selain daripada majlis-majlis kebesaran kerajaan. Sebaik sahaja aku sampai kelihatan ianya sedang mengalami proses rehabilitasi dan pembinaan semula yang besar. Aku masuk ke dalam mula bertemu para pekerja dan jurutera yang terlibat dalam program ini namun penguasaan bahasa mereka amat terhad. Aku keluar masuk dari pejabat kontena mereka satu persatu untuk bersalaman dengan mereka. Kesemua muka tidak ceria seolah-olah tidak menyukai kehadiranku di sini. Tidak lama kemudian datang seorang pakcik menjerit-jerit dan menghalau aku keluar. Kemudian keluarlah dari kalangan mereka seorang pemuda datang memberitahu bahawa kebanyakkan warga tua tidak memahami tentang kedatangan aku yang hanya untuk ziarah. Dengan perasaan hampa aku segera keluar dan mengambil gambar dari jauh. Perjalanan diteruskan ke Muzium Periuk Api dengan menelusuri hiruk pikuk dan kesesakan bandar Kabul ini. Cuaca panas kering dan berdebu membuatkan perjalanan kaki tampak sukar. Muzium ini nampaknya seakan-akan sudah diubah menjadi pejabat kerana terdapat askar pengawal di bahagian hadapan. Aku tidak mahu mengambil risiko terus pergi meninggalkan tempat tersebut. Qalle Bala Hissar juga dikawal rapi askar pengawal dengan kawat duri mengelilingi pagar. Ianya adalah kubu lama yang dipercayai dibina sekitar 500an. Sangat menarik untuk dilawati namun bukan rezeki aku kali ini. Kekecewaan sejak pagi tadi membuatkan aku hampir putus asa dan kali ini aku akan terus mencuba untuk ke Babur Bargh dengan menaiki teksi kuning dengan harga AFN300/MYR17 untuk perjalanan sejauh 6km. Sebaik sahaja sampai aku terus beratur dan hanya membayar AFN20/MYR1 untuk harga lokal berbanding harga pelancong sekitar AFN150. Mungkin kerana melihat mirip mukaku seakan-akan penduduk di sini. Aku kembali mengingati kata-kata Mohib dan Khairullah yang mengatakan mukaku mirip seperti kaum Hazara iaitu kaum minoriti Syiah di sini. Sebaik sahaja masuk ke dalam Taman Babur kelihatan ramai penduduk tempatan sedang bersantai setiap pelusuk taman ini. Terutamanya di bawah pohon yang rendang. Aku mengambil peluang ini untuk berehat sebentar di sini sambil menikmati pemandangan yang menghijau. Kemudian berjalan naik mendaki tangga ke atas menuju ke Makam Babur dan ahli keluarganya. Terdapat juga masjid kecil berdekatan makam. Kemudian ke surau berhampiran pintu keluar sebelum tidur sebentar di dalamnya.

Tidurku diganggu oleh panggilan daripada Mohib. Suaranya cemas bertanyakan aku di mana. Aku hanya menjawab di Babur Bagh. Katanya terdapat tiga letupan bom dan beliau bersyukur yang aku jauh dari tempat kejadian. Rupa-rupanya bunyi guruh di siang hari dengan langit cerah itu sebenarnya adalah bunyi letupan bom. Aku kemudian berjalan menuju Wazir Akhbar Khan kerana waktu untuk Mohib pulang dari kerja hanya tinggal beberapa jam lagi. Kerana keletihan dan kepanatan aku sekali lagi berhenti di Masjid Hazrati Nabi/Mohamadia untuk berehat dan tidur. Perjalanan sejauh 6km akhirnya berjaya dihabiskan dalam masa 2 jam. Aku bertemu Mohib dan terus ke pejabat agensi pelancongan untuk membeli tiket penerbangan ke Mazar-E Sharif. Di pejabat tersebut kami berbincang mengenai pilihan bas atau kapal terbang ke Mazar. Dan akhir sekali aku akur dengan kehendaknya yang mahukan keselamatan aku sebagai keutamaan berbanding kos. Tiket penerbangan sehala berharga AFN6100/MYR330 untuk tujuan ke Mazar dibeli secara tunai kerana urusan kad kredit disini tidak sah dan keadaannya sama seperti di Iran. Kami kemudian berhenti untuk membeli jus lobak dan burger Afghan sebelum pulang ke rumah. Kami singgah sebentar di pejabat sepupunya yang berada di seberang jalan kampungnya. Kesemuanya sangat ramah dan menjemput aku untuk ke rumah mereka. Mereka juga sangat gembira apabila mendengar yang setiap kali Jumaat, khatib akan mendoakan kesejahteraan rakyat Afghanistan. Walaupun dengan penguasaan bahasa Inggeris yang terhad aku dapat berkomunikasi dengan baik kerana Mohib berada disisi untuk menterjemahkannya. Menghampiri waktu Maghrib kami beransur pulang ke rumah. Kali ini ketibaanku disambut oleh bapanya, Najibullah dan rakannya Abdul Bari yang banyak menceritakan tentang visanya ke India yang gagal kerana beliau meletakkan Kashmir sebagai salah satu tempat tujuan pada masa lampau. Dengan penampilannya yang berjanggut panjang sudah tentu ambassador sangat skeptikal dan terus menafikan visanya ke India. Bapanya baru pulang dari Pakistan setelah selesai urusan di hospital untuk merawati penyakit isteri keduanya itu. Malam itu kami banyak bersembang dan makanan hari ini adalah yang paling banyak dan besar kerana bapanya berada di rumah. Antara topik perbualan adalah mengenai peluang perniagaan di antara Malaysia dan Afghanistan selain daripada memintaku nasihatkan Mohib untuk berkahwin awal kerana usianya yang sudah semakin meningkat. Kami tidak berkesempatan untuk memenuhi pelawaan sepupunya ke rumah malam ini. Khairullah juga memberikan nombor telefon rakannya di Mazar dan mengaturkan pertemuan kami di sana. Sepanjang beberapa hari aku tinggal di sini, tidak ada satu orang saudara perempuan mereka naik ke bilik tetamu. Mereka sangat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan di Afghanistan. Sebelum masuk tidur aku memberitahu Neda hostku di Mazar akan kedatanganku pada esok hari. Dan inilah malam terakhir di Kabul untuk aku nikmati.

Sekitar deretan kedai-kedai di Kabul

Eid Gah selepas kena marah dengan pakcik

Bala Hissar

Tempat berehat di Babur Bagh

Warga tempatan berkelah di Babur Bagh

Makam Babur dan ahli keluarganya

Masjid Shah Jahan

Masjid Hazrati Nabi Mohamadia 

Selasa, 17 Julai 2018

6.0 KHORASAN AFGHANISTAN – NEDA

Malam tadi aku terjaga beberapa kali kerana sakit perut dan terpaksa ke tandas. Nampaknya ada sesuatu yang tidak kena dengan makanan yang telah ku makan semalam. Kami bergerak ke bandar seperti biasa seperti hari sebelumnya tapi kali ini aku membawa beg galasku kerana akan bertolak ke Mazar-E Sharif. Aku berhenti di sekitar bazaar untuk membeli Perahan Tunban untuk dipakai pada hari-hari yang mendatang di Afghanistan. Jubah untuk perempuan yang bersaiz besar tidak berjaya dijumpai dan mungkin ianya berada di kedai-kedai yang lebih mahal. Kata Mohib ianya agak sukar untuk mendapatkan yang telah siap. Kebanyakkannya perlu di tempah di kedai. Hampir ke seluruh pelusuk bazaar aku terokai untuk mencari cenderamata dibawa pulang namun masih gagal. Mungkin ianya sesuatu yang tidak komersil disini memandang kadar kemasukan pelancong dari luar adalah sangat sedikit. Aku berhenti seketika untuk minum jus perahan limau di kala cuaca yang panas terik ini. Sempat juga aku menukar nota wang AFN1000 kepada nota wang yang lebih kecil kerana rata-rata barangan yang dibeli amat kecil nilainya dan sukar untuk mendapatkan wang tukaran kembali. Akhirnya aku berjaya mendapatkan key-chain bendera Afghanistan dari kedai alat tulis. Seperti yang telah dijanjikan, Mohib menghubungi aku untuk bertemu di sekitar Chicken Street untuk makan tengah hari. Menu kami adalah Kabuli Palaw iaitu seperti nasi beriani yang dimasak bersama daging atau ayam. Khairullah sampai tidak lama kemudian dengan membawa kawannya yang akan menjadi pengantin dalam beberapa hari lagi. Dia juga mengomel tentang pilihan restoran yang adiknya pilih yang agak panas dan sempit. Aku yang masih sakit perut mula kerisauan tentang perjalanan hari ini. Ubat sakit perut pun tidak dibeli lagi. Salam perpisahan antara aku dan Mohib berlaku di restoran itu dan aku banyak berterima kasih padanya atas segala pertolongan yang diberikan. Aku kemudian berjalan ke Masjid Wazir Akbar Khan untuk sembahyang dan ke tandas. Di masa yang terluang ini aku mengemaskini kos perbelanjaan dan nota pengembaraan di dalam telefon. Bayaran kepada teksi kuning adalah AFN200/MYR10 untuk ke lapangan terbang. Terdapat 2 saringan bagasi dilakukan sebelum dapat masuk ke kawasan lapangan terbang. Dan di dalam balai pelapasan 2 kali lagi imbasan bagasi dilakukan. Mujurlah aku hanya membawa 1 beg galas yang kecil dan mudah untuk dibawa. Dari papan penerbangan dan pengumuman memberitahu bahawa jadual penerbangan ke Mazar akan lewat hampir 1 jam. Aku mengambil peluang ini untuk ke tandas lagi melayan karenah perut. Sesak juga ruangan menunggu ini dengan para penumpang yang bakal ke Mazar,  aku menjangkakan tempat duduk di dalam pesawat penuh. 

Setelah masuk ke kabin pesawat aku terlena sebentar sebelum hidangan sandwich dihidangkan oleh anak kapal. Dari tingkap pesawat aku mengamati kawasan pergunungan Hindu-Kush yang berwarna perang dan sedikit kehijauan. Di lembahnya memang padat dengan tumbuhan di sepanjang aliran sungai di antaranya. Sungguh cantik. Pesawat selamat sampai di Mazar-E Sharif setelah 1 jam masa penerbangan dan aku mula menghubungi Neda. Katanya beliau menantiku dengan kereta di bahagian menunggu diluar. Sebaik sahaja aku keluar dari bangunan lapangan terbang kelihatan hanya 1-2 kereta yang menanti diluar bangunan. Aku cuba menghubungi Neda kembali dan katanya di bahagian paling luar sambil menghantar lokasinya di applikasi WhatsApp. Nampaknya aku terpaksa berjalan keluar lagi untuk ke tempat letak kereta dengan melalui satu lagi saringan bagasi. Setelah berjalan keluar 200meter baru aku ternampak tempat letak kereta dan Neda mula melambai-lambaikan tangannya. Perasaanku lega sebaik sahaja melihat wajahnya. Waktu yang menghampiri senja membuatkan aku sedikit gusar dan teringatkan kembali kata-kata Mohib yang menegahku untuk keluar dari rumah setelah waktu Maghrib. Katanya berisiko tinggi. Aku hanya menenangkan hati dan berfikiran positif. Setelah hampir 30 minit kami pun sampai di satu stesyen minyak dan terdapat banyak lori-lori besar di sekeliling. Katanya tunggu sebentar untuknya bekerja. Aku sentiasa memberitahu lokasi aku kepada Khairullah dan memberikannya bercakap dengan Neda untuk memastikan bahawa beliau adalah host yang baik. Kami kemudian bergerak ke rumah kawannya yang tidak jauh dari situ namun jalannya tidak begitu bagus dan berdebu. Kata Neda ini adalah bos dan juga kawan baiknya. Stesyen minyak yang kami berhenti tadi adalah perniagaannya bersama kawannya ini. Namun sejak kenaikkan nilai matawang USD pasca Presiden Donald Trumph, perniagaannya mengalami kerugian disebabkan jurang perbezaan yang ketara matawang asing. Katanya dia mampu untuk meraih keuntung minima USD1000 setiap bulan namun sejak dari itu hanyalah kerugian. Sekarang beliau hanya berkerja sebagai seorang pengurus stesyen minyak yang lain dan bercadang untuk menutup perniagaannya yang rugi itu. Di rumah kawannya, kami dihidangkan nasi serta lauk yang sedap. Kekenyangan lagi perutku malam ini. Kami semua tidur di ruang tamu suasananya yang nyaman kerana terdapat Air Cooler yang menyejukkan. Tepat tengah malam perutku membuat hal lagi. Dan aku terpaksa menggunakan tandas tanah yang busuk dengan bekalan 1 jag air untuk membersihkan diri. Ianya pasti dalam kenangan kerana tandas tersebut sangat gelap dan hanya diterangi cahaya bulan purnama penuh. Aku juga dapat melihat keluarga perempuan mereka mengepam air dari telaga untuk kegunaan aku mengambil wudhu. Setelah solat aku lihat Neda sibuk dengan telefonnya melayari Youtube dan aku terus terbaring di atas karpet bersama yang lain. 

Kabuli

Tenang berehat di Masjid Wazir Akhbar Khan

Ruang menunggu di Kabul Airport

Pergunungan Hindu Kush

Selamat mendarat di Mazar-E Sharif 

Bos Neda sedang nyenyak tidur