Jumaat, 7 Julai 2017

LOMBOK/SUMBAWA BESAR – 3.0 SAMAWA

Kami bangun sedikit lewat pada paginya kerana keletihan dengan perjalanan yang panjang dan tidur lewat. Bang Jhonny menetap dirumahnya bersama isteri dan 3 orang anaknya Gattan, Ahlam dan Ayu. Beliau mempelawa kami untuk pergi ke kenduri kahwin saudaranya yang tidak jauh dari situ. Kami tidak berfikir panjang dan hanya bersetuju dengan pelawaannya. 3 buah motor bergerak menuju ke sebuah kampung yang perjalanannya mengambil sekitar 30 minit. Kenduri kahwin disini tidak banyak berbeza dengan yang kenduri diadakan di kawasan-kawasan kampung Malaysia. Kami disambut oleh pengantin sebaik sahaja sampai ke khemah utama dan terus mengambil nasi berlaukkan rendang daging dan sayur. Majlis dimulakan awal sekitar jam 10am sehingga 12pm iaitu sebelum masuk waktu Zohor. Kemudian kami pulang ke rumah dan Bang Jhonny mencadangkan untuk kami pergi pantai Sandro Pole yang juga hanya 30 minit perjalanan. Aku dan isteri bertukar pakaian ke wet suit dan kami pun bergerak ke sana bersama Irvan rakan sekerja Bang Jhonny dan Ahlam. Motor ditunggang menuju ke pam minyak mini sebelum menghala ke rumah teman Bang Jhonny untuk mengambil mask dan snorkel untuk snorkelling. Setibanya kami disana, temannya memberitahu yang temannya yang lain telah mengambilnya dan sedang menuju ke Sandro Pole juga. Perjalanan diteruskan melalui jalan tar yang melalui kampung-kampung dan kebun. Kemudian kami sampai di satu simpang tiga dan laut yang terbentang luas jelas kelihatan. Tidak berapa jauh dari situ kami masuk ke kebun ubi kayu yang berpagar dan akhirnya parking disitu. Kami berjalan kaki sehingga ke pantai dan melalui pesisir pantai dan melakukan sedikit pendakian melalui belukar-belukar kecil. Setelah hampir 20 minit berjalan kami akhirnya sampai di pantai yang tersembunyi ini. Bang Jhonny ialah orang pertama yang membuka tempat ini. Tidak jauh dari sini ialah Tanjung Menangis yang mempunyai kisah lagendanya yang tersendiri. 

Kisahnya ialah pada zaman dahulu, puteri raja kerajaan Samawa/Sumbawa mempunyai penyakit kulit misteri yang tidak dapat disembuhkan. Ayahnya raja pemerintah akan mengahwinkan kepada sesiapa yang berjaya mengubatnya sekiranya dia adalah lelaki dan jika perempuan akan dijadikan kerabat diraja. Maka ramailah dukun-dukun dari kerajaan-kerajaan sekitar datang untuk mengubatinya namun tidak berjaya. Dan akhirnya dukun lelaki (sandro dalam bahasa sumbawa) dari kerajaan Sulawesi berjaya mengubatinya. Akan tetapi raja memungkiri janjinya dan hanya ingin memberikan harta yang banyak. Ini kerana dukun tersebut sudah tua dan hodoh. Puterinya berasa sangat sedih kerana bapanya tidak menepati janji dan akhirnya ke tanjung yang paling timur di Sumbawa Besar dan menangis tanpa henti sehingga menjadi batu. Dukun tersebut pula pulang ke tempat asalnya dan telah menyumpah kawasan di tanjung tersebut. Dari cerita orang-orang tua dahulu tiada sesiapa pun  akan kembali pulang menangkap ikan atau bertani dari kawasan sumpahan ini. Sehinggalah Bang Jhonny meneroka kawasan ini maka berduyun-duyun nelayan kecil dan orang tempatan datang ke sini untuk menangkap ikan atau berkelah. Jadi kawasan batu karang disini sememangnya terjaga kerana kurang pelawat jika dibandingkan dengan tempat-tempat snorkelling lain. Setelah meletakkan barang aku tidak membuang masa dan terus masuk ke dalam air untuk melihat sendiri keindahannya. Sebaik sahaja kaki mencecah gigi air, batu karang sudah mula kelihatan. Kedalaman air untuk snorkelling ialah dari 0.3-1.5 meter dan ianya sangat cetek sehinggakan lenguh tengkukku mendongak ke bawah. Isteriku yang tidak yakin untuk snorkelling tanpa jaket keselamatan terus menuju ke laut bersama Ahlam anak Bang Jhonny. Antara yang dapat kulihat disini ialah Anemone Fish (Nemo), Lion Fish dan Moray Eel. Aku cuba untuk mencari lobster seperti yang terdapat dalam phone Bang Jhonny namun hampa kerana kawasannya sangat luas. Boleh dikatakan ini adalah antara tempat snorkelling yang tercantik yang pernah kulihat dan sangat mudah diakses. Ikan-ikan kecil yang berwarna-warni dan kawanan ikan sangat mudah untuk ditemui pada kedalaman air yang cetek dan jernih ini. Disini pantai yang dasarnya berbatu ini agak landai sehingga 10 meter dari pantai sebelum jurang yang dalam menjadi pemisah dan juga limit kawasan snorkelling. 

Tanpa disedari air laut perlahan-lahan surut dan badanku sering tersangkut di batu karang yang sebelumnya lebih dalam. Setelah hampir 3 jam snorkelling kami pun naik ke pantai dan bersiap-siap untuk pulang. Teman-teman Bang Jhonny sememangnya ramah dan baik. Di perjalanan balik kami melalui pantai sambil menikmati suasana matahari terbenam dan kawasan batu karang di kala air laut surut. Kami minum air kelapa dari pokok berdekatan dan meneruskan perjalanan pulang. Badan kami tidak melekit dan gatal setelah snorkelling dan air lautnya tidak terlalu masin, Bang Jhonny memberitahu yang ada punca air mata air di sekitar kawasan tersebut. Perjalanan pulang agak santai dan kami sampai di rumah dengan selamat. Makan malam kami ialah ikan goreng dan ulam-ulaman disertakan sambal giling. Kami bagaikan satu keluarga duduk bersila menikmati makan malam yang sederhana ini. Kemudian kopi dijadikan teman untuk kami menyambung bicara mengenai isu-isu semalam sebelum masuk tidur. Bang Jhonny banyak menceritakan kisah hidupnya dan mengapa beliau ingin membantu semua orang disekitarnya. Dan juga asal-usul rumah yang dibinanya sekarang dan bagaimana dia memperolehi pekerjaannya sekarang.













0 ulasan:

Catat Ulasan