Sabtu, 8 Julai 2017

LOMBOK/SUMBAWA BESAR – 2.0 INTER-ISLAND

Mandi pagi dengan air sejuk dari telaga sememangnya menyegarkan. Ruslan yang pagi-pagi lagi sudah bangun hanya duduk termenung di hadapan rumah menghisap rokok sambil menghirup kopi panas. Selalunya isteriku akan merungut kerana gigitan nyamuk, namun disini aku dapat merasakan tiada seekor nyamuk pun yang hinggap di tubuh kami. Patutlah Ruslan dan anak-anaknya tidur di ruang tamu tanpa kelambu/ubat nyamuk. Aku memberikannya sedikit wang untuk membeli sarapan pagi memandangkan kami kelaparan sejak semalam. Yoshi dan Bintang masih lagi nyenyak tidur diselimuti oleh kain pelikat di hadapan rumah. Sementara menunggu Ruslan membeli sarapan, kami ke belakang rumahnya untuk melihat kawasan sekitar. Kami berkenalan dengan saudara Ruslan yang pernah bekerja selama lebih 10 tahun di Malaysia. Ternyata kebanyakkan orang disini memang bekerja di Malaysia untuk menyara kehidupan. Rumahnya lebih cantik dan besar, mungkin hasil dari titik peluhnya berkerja di Malaysia. Anaknya ada membela merpati yang dipakaikan seruling khas dileherkan yang  akan mengeluarkan bunyi seaakan-akan 'Morning Alarm' setiap kali kawanan burung itu terbang. Rupa-rupanya bunyi inilah yang membangunkan aku dari tidur pagi tadi. Tidak lama kemudian Ruslan pun tiba di rumah sambil membawa beberapa bungkus plastik makanan. Sarapan kami pagi itu hanyalah nasi putih bersama pecal dan pelecing kangkung. Kemudian kami ke rumah pakciknya yang tidak jauh dari situ. Sepanjang perjalanan kami dapat dapati sawah padi memenuhi setiap pemandangan dan dihiasi dengan pokok kelapa di sesetengah kawasan. Selepas menuai padi, mereka akan mengeringkan tanah dan menanam kacang tanah di dalam petak sawah tersebut. Walaupun sudah berusia sekitar 90 tahun, pakcik dan makciknya masih sihat mengerjakan sawah dan tanaman. Pakciknya memanjat pokok kelapa untuk mengambil kelapa untuk dihidangkan kepada kami. Isteriku tidak sempat mengambil gambarnya kerana beliau sudah pun turun bersama beberapa biji kelapa muda. Buah tembikai dan betik juga dihidangkan hasil daripada tanaman mereka sendiri. Mereka sangat gembira dengan kedatangan kami dan mahukan kami kembali ke sini lagi di masa akan datang. Di perjalanan pulang ke rumah Ruslan kami melalui kolam ikan Mujair/Mozambique Tilapia yang sangat popular di kalangan menu makanan orang tempatan. Kami bergambar bersama-sama sebelum bertolak ke Mataram untuk mengambil bas ke Sumbawa Besar. Walaupun hidup susah, Ruslan cuba yang terbaik untuk melayan para tetamu yang datang. Semoga Allah permudahkan rezeki keluarga-keluarga ini. Setelah 1 jam perjalanan bersama supir, kami tiba di stesen bas Mataram kepunyaan pihak pemerintah. Supir kami Bang Fathoni bertanyakan kaunter untuk masa perjalanan bas hari ini dan bas pagi telah berlepas 10am dan yang seterusnya 9pm. Bang Fathoni mencadangkan kami ke stesen bas swasta yang tidak jauh dari situ. Aku hanya bersetuju dengan cadangannya. Bayaran supir hanyalah IDR100K. 

Tiket bas yang kami cari akhirnya ditemukan di situ berharga IDR150K untuk seorang dan bakal bertolak 3pm. Kami hanya makan nasi di gerai berhampiran berlaukkan sayur dan tempe. Sejam sebelum waktu bertolak ramai penumpang telah masuk terlebih dahulu walaupun keaadaan bas yang sangat panas berbahang ditambah pula dengan beberapa peniaga jalanan berniaga di dalam bas. Aku terdengar perbualan makcik-makcik sebelum menaiki bas dan harga yang aku bayar untuk tiket bas adalah yang sebenar. Bas bertolak pada masanya dengan bahagian belakang bas dipenuhi kotak-kotak barang. Perjalanan dari Mataram ke Labuhan Kayangan mengambil masa 3.5 jam yang sejauh 90km dan ianya mungkin lebih cepat jika bas tidak berhenti 3-4 kali untuk mengambil barang yang makin lama memenuhi ruang jalan di tengah bas. Di Labuhan Kayangan kami membeli nasi dari peniaga jalanan untuk mengalas perut sambil menanti bas untuk bergerak memasuki feri. Kami berjalan masuk ke feri setelah memastikan bas yang kami naiki masuk terlebih dahulu. Di atas feri terdapat ruang menunggu untuk semua penumpang kenderaan dilengkapi dengan tandas dan surau. Perjalanan yang mengambil masa hampir 2 jam agak sedikit bergoncang dek ombak dan angin malam yang bertiup. Semua penumpang masuk ke kenderaan masing-masing ketika feri menghampiri Labuhan Poto Tano. Perjalanan diteruskan ke Sumbawa Besar yang sejauh 100km ke timur. Aku bertanyakan kepada pembantu bas tentang perhentian seterusnya dan beliau memberitahu bahawa bas akan berhenti makan di rumah makan berdekatan Sumbawa. Aku tertanya-tanya mengapa bas tidak berhenti di stesen bas Sumbawa? Mungkin bas ini akan meneruskan perjalanannya terus ke Bima/Dompu yang jauh ke timur. Aku sentiasa berkomunikasi dengan bakal host ku di sana Bang Jhonny tentang lokasi terkini kami dan kemungkinan kami akan tiba lewat memandangkan perjalanan bas yang agak perlahan. Isteriku memang mudah terlelap jika menaiki apa-apa jenis kenderaan terus menyambung tidur sebaik sahaja bas bergerak. Aku juga terlelap sehinggalah bas berhenti di rumah makan. 

Kami turun bas dan mengambil beg isteriku di perut bas sebelum mengambil ojek yang berharga IDR60K untuk 2 orang. Aku menghubungi Bang Jhonny sekitar 12am dan syukur beliau masih tidak tidur. Dari applikasi Maps.ME jarak ke rumahnya sekitar 6km dan pemilik ojek bersetuju untuk ke sana setelah berbual dengan Bang Jhonny. Aku membonceng isteriku dan satu motor lagi ditunggang oleh pemiliknya memandu perjalanan kami di tengah malam yang sunyi di bumi asing ini. Angin sejuk cepat menusuki seluruh tubuh ini kerana aku hanya berbaju lengan pendek dan nipis. Perjalanan yang pendek ini terasa sekali jauhnya kerana kami melewati jalan-jalan tanah dan berbatu dengan keadaan yang kadang-kadang gelap gelita. Simpang demi simpang kami masuk dan alhamdulillah akhirnya kami bertemu Bang Jhonny yang menunggu di simpang masuk ke rumahnya. Kami selamat tiba dirumahnya dan terus masuk ke rumah kerana kesejukkan. Andita juga menunggu kami disitu. Aku mengetahui mengenai Bang Jhonny berdasarkan profil Couchsurfing Andita. Reference dari kebanyakkan surfer akan menyatakan bahawa mereka akan dihost oleh Bang Jhonny dan mungkin lebih mudah untuk aku terus menghubungi Bang Jhonny. Kami berkongsi cerita masing-masing mengenai keluarga, pengalaman Couchsurfing dan juga hal-hal agama dan sosial. Isteriku terus masuk tidur sementara aku terus menyambung perbualan kami yang semakin rancak. Dalam perancangan Bang Jhonny mahu membawa kami bermalam di pantai Sandro Pole, namun disebabkan kami lambat sampai beliau membatalkan hasratnya dan hanya teman-temannya sahaja ke sana. Sumbawa Besar adalah pulau yang rata-ratanya beragama Islam dari kaum Samawa ini agak sepi dari aktiviti pelancongan. Banyak pulau, air terjun dan pantai yang cantik untuk diterokai, namun penduduk tempatan lebih minat kepada bidang pertanian khususnya jagung yang menjadi tanaman utama Sumbawa. Di pulau ini juga terdapat hasil emas yang kedua terbesar di Indonesia selepas Papua. Tetapi perusahaan perlombongan hasil bumi disini dimonopoli oleh bangsa asing. Aku amat tertarik dengan peribadi Bang Jhonny yang pasti akan menolong setiap orang yang memerlukannya tanpa melihat warna kulit. Beliau juga percaya yang diberikan Allah adalah untuk orang-orang disekitar kita juga. Oleh itu beliau sentiasa berkongsi makanan dan apa juga yang beliau mampu kongsikan kepada sesiapa pun. Perbincangan berlarutan sehingga 3am sebelum aku masuk tidur di dalam bilik.








0 ulasan:

Catat Ulasan