Selasa, 4 Julai 2017

LOMBOK/SUMBAWA BESAR – 6.0 PESANTREN

Bang Jhonny sekeluarga menghantar kami ke Lapangan Terbang Sultan Muhammad Kaharuddin III yang hanya 10 minit dari rumahnya. Ia hanyalah lapangan terbang domestik yang kecil yang ruangan menunggunya bersama-sama dengan kaunter daftar masuk. Bang Jhonny sekeluarga menunggu kami sehingga kami masuk ke pesawat jenis ATR milik Wings Air dan kami melambaikan tangan perpisahan untuk kali ini. Kami tiba di Lapangan Terbang Lombok Praya International selepas 30 minit perjalanan. Supir kami Bang Fathoni menunggu ketibaan kami dan perancangan hari ini adalah untuk bertemu Ustazah Uswatun yang aku kenali di Couchsurfing dan membeli cenderamata membeli buah tangan sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya. Kadar bayaran supir dianggarkan sebanyak IDR250K. Bang Fathoni membawa kami untuk ke lokasi yang dikongsikan oleh Ustazah Uswatun di Daerah Praya sekitar 20km dari lapangan terbang. Irvan yang juga menanti penerbangan pulang ke Bali pada lewat petang ini juga mengikut kami dan menunggu di dalam kereta. Kami terus masuk ke Pesantren Nashriyah Sekunyit dan kelihatan ramai anak-anak yang sedang sibuk bermain dan juga belajar di dalam kelas. Kami menyapa salah seorang dari mereka dan bertanyakan dimanakah Ustazah Uswatun? Kami terus dibawa ke bilik guru dan berjumpa dengannya. Kemudian berkenalan dengan para pengajar disana sebelum ke pondok berhampiran untuk berbual lebih lanjut. 

Pesantren ini ditubuhkan oleh bapa Ustazah Uswatun dan usaha itu diteruskan oleh anaknya. Beliau menggunakan medium Couchsurfing untuk mencari para pengembara yang fasih English untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak muridnya disini. Aku juga berkesempatan untuk berkomunikasi dengan anak-anak disini di dalam kelas English. Kemudian kami dibawa mengelilingi sekolah hampir setiap kelas untuk mengenali anak-anak disini dengan lebih dekat lagi. Mereka sangat menghargai kedatangan kami dan menjemput kami untuk datang lagi di masa akan datang. Kami meneruskan perjalanan untuk membeli-belah dan berhenti di satu kedai cenderamata yang dicadangkan oleh Bang Fathoni. Isteriku sememangnya mempunyai kemahiran yang tinggi dalam hal membeli-belah dan menyerahkan tugas ini kepadanya. Kami makan Ayam Taliwang di restoran berdekatan sebelum daftar masuk di lapangan terbang. Aku mengucapkan salam perpisahan kepada Irvan yang banyak menolong semasa kami berada di Sumbawa Besar. Yang pastinya masih banyak lagi tempat-tempat Wisata yang perlu kami lawati di kawasan ini. Batu karang dan pantai yang terpelihara, hidupan laut yang pelbagai dan juga alam sekitar yang suci dari arus kemodenan dan pelancongan membuatkannya salah satu tempat yang unik untuk dilawati. Semoga ketemu lagi Sumbawa Besar!






0 ulasan:

Catat Ulasan