Khamis, 6 Julai 2017

LOMBOK/SUMBAWA BESAR – 4.0 MAGELLANIC CLOUD

Hampir kesemua kediaman di Nusa Tenggara Barat menggunakan air telaga sebagai kegunaan harian mereka. Dan airnya tidak berbau dan rasa yang pelik seperti di Malaysia, mengenang kembali memori semasa bersekolah agama di Chemor yang menggunakan air perigi untuk mandi dan membasuh baju jika terdapat gangguan bekalan air. Irvan membantu kami untuk membeli tiket balik ke Lombok dengan Lion Air yang berharga IDR250K untuk 30 minit perjalanan. Aku sudah tidak sanggup lagi untuk kembali mengharungi perjalanan balik panjang dan menyeksakan. Andita, Winda dan 2 orang CSer yang lain datang ke rumah Bang John sekadar menziarahi dan menyatakan hasrat mereka untuk mengikuti kami bermalam di Tanjung Pasir, Pulau Moyo. Irvan dan Bang Jhonny keluar seketika untuk berjumpa dan pegawai daerah Sumbawa untuk melobi akan projek telekomunikasi syarikatnya. Kata Bang Jhonny teman-temannya akan mengikuti kami sekali ke Tg Pasir tetapi tidak mampu untuk mengeluarkan biaya. Aku hanya mengangguk setuju. Selepas Zuhur mereka pun pulang dan kami bersiap-siap untuk ke Tg Pasir. 

Perjalanan diteruskan ke rumah penginapan Cser Jakarta yang mahu mengikut sekali ke sana dan singgah di pasar untuk membeli sedikit makanan untuk makan malam dan esok pagi sebelum meneruskan perjalanan ke jeti nelayan. Perjalanan yang sejauh 30minit itu dirasakan terlalu sebentar kerana mata yang kerap meliar memerhatikan pemandangan sekitar yang menghijau. Walaupun matahari panas terik namun kami tidak dapat merasakan bahangnya. Ternyata Sumbawa ini masih lagi tidak tercemar dan kurang pengunjungnya. Tanaman yang sering dilihat disini ialah padi dan jagung, ladang-ladang kelapa sawit atau getah tidak pernah kelihatan. Sekitar 8 buah motor akhirnya sampai di jeti nelayan dan kami berpecah kepada dua kumpulan memandangkan bot yang bakal dinaiki sangat kecil dan ia akan berulang-alik dua kali untuk mengambil kesemua kami. Dari jeti nelayan ke Tg Pasir mengambil masa lebih kurang 40 minit dan kami hanya mampu menikmati matahari terbenam yang berlatar belakangkan Gunung Rinjani di atas bot. Setibanya di sana hari sudah pun mulai gelap, teman Bang Jhonny terus memasang khemah di tepi pantai dan sebahagiannya memulakan unggun api untuk memasak air. Kami hanya memerhati sambil bersiar-siar di sekitar sambil menunggu satu kumpulan lagi sampai. Bang Jhonny menyuruh kami memilih khemah yang dirasakan selasa sambil mereka bersiap-siap untuk menembak ikan. Di sini terdapat pondok-pondok kecil yang bersih diperbuat dari papan dan boleh dijadikan tempat solat. Tiada sumber air tawar dari kawasan berdekatan, dan Pulau Moyo memang besar dan mempunyai air terjun yang terkenal diberi nama Mata Jitu. Dikisahkan mendiang Puteri Diana pernah sampai disini untuk bercuti. Namun biaya ke sana sedikit mahal dan memakan masa kerana kami perlu pergi ke jeti utama Pulau Moyo. Mereka turun ke laut berbekalkan senapang ikan dan lampu suluh. 

Keadaan sekeliling gelap gelita dan kami dapat memerhatikan lampu samar-samar datang dari kampung berdekatan. Aku mendongak ke langit dan melihat betapa indahnya bintang-bintang bergemerlapan. ‘Magellanic Cloud' jelas kelihatan disini dan inilah pertama kali aku melihatnya seumur hidupku. Sangkaku untuk melihat pemandangan yang indah begini perlu ke Eropah dan tempat yang jauh, namun segalanya terjawab malam ini. SubhanAllah tiada kata-kata yang terungkap untuk menggambarkan keindahan malam ini. Aku berkesempatan untuk mengambil beberapa keping gambar menggunakan SJCAM dengan bantuan teman Bang Jhonny. Walaupun settingnya agak limited namun masih mampu untuk merakam pemandangan terindah di langit. Tidak berapa lama kemudian mereka yang turun ke laut pulang dengan banyak ikan disamping. Antara jenis ikan yang dapat dikenalpasi ialah Triggerfish dan Parrotfish. Ikan-ikan tersebut terus disiang dan dipanggang. Parrotfish rasanya manis dan sedap manakala Triggerfish lebih kenyal, kata Bang Jhonny ikan ini digelar kambing laut kerana tekstur dagingnya yang kenyal. Ikan yang banyak tadi rasanya tidak cukup kerana masing-masing kelaparan ditambah pula dengan sambal cili giling yang sedap. Kali ini aku mengikuti Bang Jhonny ke tepi pantai sambil membawa lampu suluh untuk melihat batu karang yang timbul dek air laut yang surut. Kami menjumpai ikan keli laut yang berwarna merah dan anak udang yang celahan batu karang. Aktiviti malam disambung dengan menikmati bintang di langit dan bersembang hingga ke larut malam. 





0 ulasan:

Catat Ulasan