Ahad, 9 Julai 2017

LOMBOK/SUMBAWA BESAR – 1.0 SASAK

Pesawat Air Asia berlepas tepat pada masanya dan kami tiba di Airport Lombok, LOP lebih kurang jam 5pm. Setelah membeli simcard Telkomsel berharga IDR20K aku cuba menggunakan Uber namun gagal mungkin kerana settings. Memandangkan hari sudah beransur gelap, aku terus mengambil supir untuk ke Kampung Perina. Sepanjang perjalanan hanya sawah padi dan pokok kelapa memenuhi pandanganku. Pulau yang diberi jolokon 'Seribu Masjid' sememangnya mempunyai banyak masjid. Ianya mudah kelihatan di setiap beberapa kilometer perjalanan. Akhirnya setelah sejam perjalanan kami pun tiba di rumah Ruslan dan membayar supir IDR100K. Ruslan menyambut baik kami dan beliau meletakkan beg kami di satu buah bilik yang kecil beralaskan tikar plastik Upin Ipin. Rumahnya begitu daif sekali dan tidak mempunyai pintu dan tingkap yang sempurna, hanya sekadar papan plywood digunakan sebagai penghadang. Beliau menghidangkan kami kopi Lombok dan tidak lama kemudian rakan-rakannya datang untuk berbual bersama kami. Ruslan mendiami rumah itu bersama dua orang anaknya Yoshi dan Bintang. Isterinya kini berkerja di Damansara Selangor demi menyara kehidupan keluarga mereka. Ruslan hanya bekerja secara sambilan bertukang kayu di rumah kerana perlu menjaga kedua-dua anaknya yang masih kecil. Beliau juga pernah menjadi supir untuk syarikat BlueBird yang mempunyai gaji yang lumayan tetapi hanya pulang ke rumah 1-2 hari dalam sebulan kerana jadual kerja yang sangat sibuk dan hanya tidur di dalam teksi. Untuk mengalas perut pada malam itu aku hanya makan bekal roti yang dibeli di KLIA2 petang tadi. Tandas di rumahnya sangatlah kecil dan menggunakan air perigi sebagai sumber air. Aku menyambung perbualan bersama Ruslan seketika sambil menikmati rokok daun tembakau asli disulami kopi sebelum masuk tidur. Ruslan juga menceritakan tentang adat kaum Sasak yang akan menculik gadis pilihan hati mereka demi untuk menurunkan harga hantaran perkahwinan. Tidak hairan lah suatu masa dulu kecoh di halaman-halaman akhbar yang menceritakan anak gadis Melayu Malaysia yang dibawa culik lari ke Lombok. Perbelanjaan untuk perkahwinan di Lombok juga mahal seperti di Malaysia. Terdapat juga ritual 'Bau Nyale' untuk menangkap cacing laut sekitar bulan Februari-Mac. Ianya berdasarkan kisah lagenda Puteri Mandalika yang telah bertukar menjadi cacing laut berkorban demi kesatuan kaumnya pada masa tersebut. Ruslan dan anak-anaknya hanya tidur di ruang tamu beralaskan tilam yang nipis, katanya anak-anaknya sudah biasa tidur disini dan kalau dipaksa tidur di dalam bilik pun lama-kelamaan mereka akan keluar sendiri untuk tidur di ruang tamu.


0 ulasan:

Catat Ulasan