Rabu, 5 Julai 2017

LOMBOK/SUMBAWA BESAR – 5.0 HOSPITALITY

Bunyi ombak menghempas pantai membuatkan aku terjaga dari tidur, dan jam menunjukkan hampir jam 7am. Memandangkan semua orang masih lagi lena dibuai mimpi, aku mengambil kesempatan untuk menguruskan diri di pantai dan seterusnya solat. Tidak lama kemudian semua orang pun bangun. Aku mengikuti mereka untuk menembak ikan pagi ini dan Bang Jhonny sememangnya perenang yang baik. Batu karang disini sememangnya berwarna-warni dan lebih pelbagai jika dibandingkan dengan Sandro Pole namun arus yang kuat membuatkan tahap penglihatan agak terhad. Setelah sejam dilaut kami pulang kehampaan tanpa sebarang hasil tangkapan. Kami semua hanya bersarapan mee segera sekadar untuk mengalas perut. Aku menyambung aktiviti snorkelling ku bersama isteriku dan kawasan di tanjung ini sememangnya luas dan sangat sesuai untuk snorkelling. Rumput laut juga kelihatan di sebahagian tempat berdekatan pantai. Kepadatan batu karang di sini agak kurang di kawasan kedalaman kurang 1.5m dan mula padat untuk kawasan yang lebih dalam. Ribuan jelly fish yang kecil berada dipermukaan air sehingga memaksa aku berenang melaluinya sehinggakan ia bersentuhan dengan pipi dan mukaku. Tiada rasa gatal atau pedih mungkin kerana ianya dari jenis yang tiada sengat (Ctenophores Jellyfish). 

Seakan-akan tidak kenal erti penat dan puas aku terus snorkelling sehnggalah terdengar deruman bunyi enjin bot. Kelihatan kumpulan pertama meninggalkan Tg Pasir menuju ke tanah besar. Aku kemudian menghabiskan saat-saat terakhir di pulau ini sepenuhnya sebelum naik ke pantai untuk bersiap-siap. Sedang kami berbual-bual di pondok, salah seorang dari kami terjumpa ular berada di atas rimbun pokok berhampiran tapak khemah kami. Beliau terus menangkap ular itu menggunakan kayu dan tangan sebelum membuangnya ke belukar berhampiran. Ujar Bang Jhonny temannya itu memang Raja Ular, mampu menundukkan ular dan menangkapnya dengan tangan. Aku bersama kumpulan kedua menaiki bot dan terus menuju ke tanah besar. Sampainya disana aku hanya bilas badanku dengan air perigi sebelum kami semua bertolak pulang. Sewa bot itu sekitar IDR400K untuk perjalanan pergi dan pulang. Aku hanya membayar IDR200K dan selebihnya dibayar oleh 2 Cser Jakarta. Kami sampai di rumah sekitar tengah hari dan berehat seketika sebelum makan tengah hari yang disiapkan oleh isteri Bang Jhonny. Bang Jhonny mencadangkan untuk pergi ke Ai Beling yang sejauh 40km dari pusat bandar. Kami hanya mengangguk bersetuju akan cadangannya dan terus menaiki motorsikal menuju Ai Beling. Kami mengisi bensin terlebih diperjalanan memandangkan jaraknya yang agak jauh. Pemandangan sepanjang perjalanan dipenuhi dengan ladang jagung dan sawah padi yang menghijau. Jalan raya yang dilalui agak sepi tanpa kehadiran kenderaan dan hanya kami dengan 3 buah motor menuju ke destinasi. 

Setelah hampir 2 jam di jalanan dan kami pun sampai ke destinasi. Kami terpaksa meredah bukit yang berbatu untuk beberapa kilometer terakhir dan ianya memang meletihkan kerana motor sukar untuk dikawal dan sering terbabas. Kesemua kami tertidur sebentar di batu-batu sepanjang air terjun kerana perjalanan yang jauh dan meletihkan. Struktur air terjun yang mempunyai 4 tingkat ini memang cantik dan ianya akan lebih cantik ketika musim hujan dimana air sungai mengalir lebih banyak dan mengalir ke semua laluan air terjun. Kami sempat mandi di bawah air terjun yang sangat sejuk untuk menyegarkan diri sebelum bergerak pulang. Kami berhenti sebentar di perjalanan untuk membeli susu kuda liar. Dan rasanya masam dan hanyir, mungkin inilah kali pertama dan terakhir aku merasainya. Jalan raya disini kurang sibuk dan ianya sangat sesuai untuk pemanduan yang santai, namun tempat-tempat Wisata berada agak jauh di antara satu sama lain. Di malam terakhir disini, kami mengambil kesempatan untuk mengambil gambar Bang Jhonny sekeluarga dan sebelum tidur mengenang kembali memori-memori manis bersama mereka. Sungguh besar rahmatmu Ya Tuhan. 











0 ulasan:

Catat Ulasan