Ahad, 1 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 29.0 BOSPHORUS SEA

Sebaik sahaja aku bangun dari tidur, Liu sudah pun keluar untuk mengambil rakan sekerjanya yang tiba pagi ini. Aku pun bersiap-siap dan tidak lama kemudian mereka pun sampai. Rakannya, Tan ialah Technical Manager datang ke sini hanya beberapa hari hanya sekadar memantau beberapa aspek teknikal untuk dilaporkan ke ibu pejabat. Kami kemudian mengambil teksi dan terus menuju ke Besiktas untuk sarapan pagi. Liu mencadangkan ke restaurant di sekitar kawasan ini kerana beliau pernah bersarapan pagi bersama rakan sekerja lokalnya di sini. Restaurant ini terletak sekitar 100m dari jeti Kabatas. Banyak restoran di kawasan sekitar yang menyediakan sarapan pagi dan setiap pelayan restaurant menjemput kami untuk masuk. Terdapat menu ala-carte yang boleh dipesan namun kami semua bersetuju untuk mengambil Turkish Breakfast yang berharga TL 15 untuk seorang. Namun hidangannya tidaklah sebanyak Turkish Breakfast yang aku nikmati bersama Aydin di Sanliurfa. Liu juga menceritakan pengalaman travel sekitar Eropah dan juga berkongsi tips untuk mengurangkan kesan jet-lag. Beliau sering kali memakan ubat tidur ataupun motion sickness pill untuk memastikan beliau dapat tidur di sepanjang masa penerbangan. Kami kemudian berjalan menuju jeti Kabatas untuk bersiar-siar dan berpeluang melihat meriam besar yang digunakan oleh tentera Sultan Muhammad Al-Fatih ketika menakhluk Constantinople daripada empayar Byzantine. Mereka akan pulang semula ke flat untuk mengambil bateri kamera Tan yang tertinggal dan seterusnya pergi ke pejabat.Sebelum berpisah, Liu membawaku ke jeti feri untuk Bosphorus Tour oleh Dentur Avrasya. Aku terus menaiki feri selepas membayar TL 15 di kaunter masuk dan duduk di kerusi pada bahagian dek terbuka untuk menikmati pemandangan di bahagian Eropah dan Asia Istanbul. Perjalanan dimulakan dengan mudik di bahagian Eropah terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke bahagian Asia dan ke kembali semula ke Kabatas. Feri ini melepasi 2 jambatan utama iaitu Jambatan Bosphorus dan Jambatan Sultan Muhammad Al-Fatih. Antara monumen-monumen penting empayar Uthmaniah yang dapat dilihat adalah Istana dan Masjid Dolmahbache, Rumeli Hisari, Anadolu Hisari, Istana Beylerbeyi dan Maiden Tower. Cuaca yang baik dengan tiupan angin sejuk menjadikan perjalanan ini begitu menyenangkan. Akhirnya setelah 90 minit feri pun selamat tiba kembali ke jeti Kabatas. 

Aku kembali menuju ke kawasan Sultanahmet untuk ke Grand Bazaar membeli jubah untuk ibuku. Bazar yang telah mula dibina sejak tahun 1500an adalah bazar yang terbesar dan tertua di dunia menjadikannya tumpuan para pelancong serata dunia. Rata-rata harga di sini agak mahal jika dibandingkan dengan bazar yang aku pergi di Tenggara Turki. Aku cuba mencari kedai yang agak terpencil supaya aku mempunyai kebebasan untuk memilih dan tidak diganggu oleh kebanyakkan peniaga terutama di lorong-lorong utama bazar. Terdapat juga yang menyapaku dalam Bahasa Malaysia namun aku tidak mengendahkannya. Memandangkan duit Lira semakin berkurangan, aku menukar USD 40 di kedai tukaran wang asing. Perjalanan di teruskan untuk menikmati pemandangan di sekitar Blue Mosque dan Hagia Sofia pada waktu siang pula. Memandangkan Hagia Sofia masih lagi proses pembaik-pulihan dan harga tiket yang agak mahal aku mengambil keputusan untuk  hanya memerhati dari luar sahaja. Aku kemudian ke Masjid Sulaiman yang berhampiran Universiti Atarturk. Seni binanya direka oleh arkitek Blue Mosque iaitu Sedefkar Mehmed Aga. Jadi tidak hairanlah seni binanya seakan-akan serupa. Ia diberi nama sempena Sultan Sulaiman dan dibina sekitar 1500an. Di bahagian luar masjid terdapat tanah perkuburan dan juga makam Sultan Sulaiman dan kaum kerabatnya. Memandangkan Liu dan Tan akan ke Ankara esok pagi, aku telah menghubungi Sam yang pernah ke Malaysia bermalam di rumahku pada awal tahun ini. Beliau sangat mengalu-alukan kedatanganku ke rumahnya. Tanpa membuang masa, aku bergegas pulang ke flat untuk mengambil beg dan bercadang untuk pindah ke rumah Sam di Beykoz di Istanbul Asia. Setibanya aku di flat, Liu masih lagi tidak pulang dari kerja dan aku mengambil kesempatan untuk ke bahagian bumbung flat. Pemandangan dari atas sangat mengasyikkan dengan burung camar berterbangan berlatar belakangkan Selat Bosphorus yang sibuk. Aku duduk sebentar untuk menikmati pemandangan ini sambil bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakanNya ini. Sam akan menanti aku sekitar jam 2000H di Masjid Yeni Velide dan aku perlu bergegas ke sana secepat mungkin. Berpeluh-peluh aku naik turun tangga dan bertukar-tukar Metro sebelum sampai di stesen Uskudar setelah 45 minit perjalanan. Ternyata kadar tambang pengangkutan awam di Istanbul agak mahal kerana aku sudah membelanjakan sekitar TL 50 untuk kad Istanbul dalam masa 2 hari ini. Aku kemudian berjalan ke masjid dan menanti Sam di tempat duduk luar. Tidak berapa lama kemudian Sam pun sampai dengan menaiki kereta Audi. Sejak kedatangannya ke Kuala Lumpur bersama kakaknya, aku sudah dapat mengagak yang beliau dari keluarga yang kaya. Jarak dari masjid tadi untuk ke rumahnya di Beykoz adalah sekitar 30km dan kami berhenti seketika di supermarket dan kedai makan untuk mengambil 3 set bebola daging yang ditempahnya. Di supermarket, Sam banyak mengambil makanan dan minuman untuk sarapan pagi pada esok hari. Kereta yang dipandu Sam kemudian mula mendaki bukit-bukit curam dan katanya sudah hampir ke rumahnya. Rumahnya terletak di lereng-lereng bukit yang menghadap ke Selat Bosphorus. Memang terbaik lokasi rumah-rumah di sini. Sam membawa aku ke rumah tetamu yang lebih kecil dan hanya sejauh 50m dari rumah keluarganya. Rumah ini agak bersepah dan tidak dikemas dengan pinggan mangkuk tidak dicuci. Kami makan malam bersama dan aku mula menceritakan sedikit sebanyak tentang pengembaraan aku sejak hampir 30 hari yang lalu. Beliau juga menceritakan perancangannya untuk mengembara lagi walaupun masih lagi belajar di universiti. Kata bapanya, selagi tidak melakukan kemungkaran selagi itu Sam bebas membuat dan pergi ke mana sahaja yang beliau mahu. Sam akan bergerak awal pagi sekitar 0700H ke Istanbul Eropah untuk menghantar bapanya ke tempat kerja dan kemudiannya ke Universiti Istanbul. Aku menolak pelawaannya kerana rancangan esok hari hanyalah untuk meneroka Istanbul Asia. Setelah mandi dan solat aku pun tidur di ruang tamu dengan berselimut tebal.

Sarapan pagi bersama Tan dan Liu di Kabatas

Replika meriam yang digunakan tentera Sultan Muhammad Al-Fatih

Pemandangan sekitar jeti Kabatas

Pemandangan sekitar jeti Kabatas

Pemandangan sekitar Selat Bosphorus 

Rumeli Hisari

Dek terbuka feri

Hagia Sofia

Ruang solat Masjid Sultan Ahmet

Ruang solat Masjid Sultan Ahmet

Pemandangan dari luar masjid

Pintu masuk Grand Bazaar

Istanbul Grand Bazaar

Perkarangan kubur

Makam Sultan Sulaiman dan kaum kerabatnya

Masjid Sultan Sulaiman

Pemandangan ke arah Selat Bosphorus dari masjid

Pemandangan dari roof-top

Ruang tamu rumah Sam.

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 30.0 JOSHUA HILL

Pagi ini aku menyediakan sarapanku sendiri memandangkan Sam telah membeli bahan-bahan masakan semalam. Aku menggoreng telur dan sosej untuk dimakan bersama roti. Tidak dilupakan kaymak, iaitu lemak susu yang telah menjadi salah satu makanan kegemaranku di sini. Aku juga berkesempatan mengemas dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang penuh di dalam sinki. Sebelum keluar aku juga mengambil sebiji buah delima untuk dijadikan bekalan. Pemandangan Selat Bosphorus dari halaman rumah Sam sangat cantik, menyesal pula tidak ke sini sebaik sahaja tiba dari Gaziantep. Aku berjalan kaki menuruni bukit untuk keluar dari kawasan kampung menuju ke jalan utama. Sam memberitahu yang aku boleh mengambil bas dari situ untuk ke Bukit Nabi Yusha A.S yang sejauh 10km. Sebaik sahaja memasuki bas aku mengimbas kad Istanbul dan duduk sambil memerhatikan Google Map. Setelah hampir 30 minit mendaki dan menuruni bukit, aku menekan loceng untuk membolehkan aku turun di perhentian bas berhampiran Bukit Nabi Yusha. Dari situ aku perlu berjalan kaki sejauh 1km untuk sampai di pintu masuk makam. Kebanyakkan gerai-gerai cenderamata di kawasan sekitar masih lagi tutup. Ini adalah makam Nabi Yusha A.S yang kedua aku ziarahi setelah yang pertama aku ziarahi di Gaziantep bersama Gozde. Makam yang sepanjang 17m ini dipercayai telah dijaga oleh lembaga gergasi. Riwayat mengatakan Nabi Yusha A.S telah datang ke Bosphorus bersama Nabi Musa A.S sebelum baginda meninggal dunia dan ditanam di sini dan bukit yang tertinggi di Bosphorus. Bersebelahan makam terdapat masjid yang didirikan untuk para pengunjung solat. Setelah selesai menziarahi makam dan berdoa, aku pun berjalan pulang ke perhentian bas dan seterusnya pulang ke rumah Sam. Aku mengambil masa untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan kampung sebelum pulang ke rumah. Saki-baki makanan telah aku habiskan dan mula mengemas barang-barang ke dalam beg. 

Kali ini aku menghala ke stesen Vezneciller untuk bertemu Sam. Perjalanan dimulakan dengan bas sebelum bertukar kepada beberapa aliran metro sebelum sampai ke destinasi. Melihatkan masa semakin singkat aku terpaksa melupakan rancanganku untuk menziarahi makam Abu Ayub Al-Ansari. Ahmet Couchsurfing juga tidak berkesempatan untuk berjumpa denganku memandangkan beliau terpaksa melawat rakannya di hospital. Aku bertemu Sam di sebuah restoran berhampiran Universiti Istanbul dimana tempat beliau sedang belajar. Beliau menjemputku untuk makan tengah hari, dan aku yang kelaparan tidak menolak pelawaannya. Tidak lama kemudian, kawannya dari Morocco datang dan aku dapat perhatikan yang mereka rancak berbual. Setelah berbual-bual seketika, aku pun meminta diri untuk ke Ataturk Airport. Aku mengucapkan terima kasih terhadap segala layanan yang telah diberikannya walaupun dalam jangka masa yang pendek. Sam adalah antara penyebab aku ke Turki dan sebelum berpisah aku memeluknya mengucapkan selamat tinggal. Beg galasku yang sarat ini kurasakan semakin berat, mungkin kerana aku sudah mula kepenatan. Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, aku terpaksa berdiri disamping penumpang yang ramai memandangkan ianya adalah waktu kemuncak. Setelah hampir 1 jam aku pun tiba ke destinasi. Berkali-kali aku terpaksa mengimbas beg dan diperiksa pegawai keselamatan semasa sampai di lapangan terbang. Mungkin ia sebagai langkah keselamatan memandangkan Istanbul Airport pernah mengalami serangan pengganas sekitar Jun 2016 yang mengakibat hampir 50 orang kehilangan nyawa. Proses daftar masuk di kaunter Air Astana dan immigresen berjalan lancar. Ucapan selamat tinggal dikirimkan kepada setiap kenalan di Turki sepanjang 3 minggu ini. Imbauan memori mula menerpa minda, dan aku sedar semua ini adalah kekuasaan Allah yang mempermudahkan perjalanan pengembaraan ini. Sebaik sahaja pesawat berlepas aku pun tertidur.

Pemandangan dari rumah Sam

Di dalam bas menuju Joshua Hill

Pintu masuk makam

Perkarangan masjid

Kawasan perkuburan

Makam Nabi Yusha A.S

Sedikit informasi mengenai makam

Makam yang sepanjang 17m

Makam Nabi Yusha A.S

Peniaga yang menjual buah kaktus

Berjalan kaki menuju perhentian bas

Selat Bosphorus

Plankton dan alga laut

Makan tengah hari bersama Sam

Tiket penerbangan dari Istanbul-Almaty-Kuala Lumpur

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 31.0 АЛМАТЫ

Aku terjaga dari tidur sebaik sahaja pesawat selamat mendarat di Almaty International Airport, ALA. Dengan keadaan yang mamai aku melangkah masuk ke transit lounge. Penerbangan yang selama 5 jam itu terasa sangat singkat dan sememangnya aku kekurangan tidur. Selepas ke tandas, aku terus menuju ke kaunter immigresen untuk keluar dari transit ke balai ketibaan. Walaupun pada permulaannya mereka tidak melepaskan aku pergi, selepas menggunakan Google Translate dan bercakap dengan pegawai yang lain, akhirnya passportku dicop dan dibenarkan keluar. Lama juga aku termenung di kerusi sambil memakan makanan yang dihidangkan di dalam pesawat. Merasakan aku sudah segar sepenuhnya, aku menukarkan baki duit Turkish Lira kepada Kazakhstan Tenge dan membeli simcard berharga KZT 2000 kerana roaming U Mobile sangat mahal jika dibandingkan dengan membeli simcard tempatan. Sementara menanti hari cerah, aku ke kaunter pertanyaan pelancong untuk bertanyakan tempat-tempat menarik di sekitar bandar. Suhu yang menghampiri sub-zero pastinya menjadi suatu cabaran untuk aku diluar sana dan aku pula tidak membawa baju sejuk. Aku mengambil bas dari hadapan balai ketibaan untuk ke pusat bandar. Tambang bas sekitar KZT 150 dengan bas penuh sesak memandangkan waktu menunjukkan sekitar 0900H. Keadaan trafik bertambah sesak sebaik sahaja menghampiri pusat bandar dan pergerakan bas menjadi sangat perlahan. Perasaanku yang teruja untuk meneroka bandar ini membuat aku terus turun daripada bas dan meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Tujuanku adalah ke President Park yang hanya 2km dari sini, dan aku perlu terus berjalan untuk memanaskan badan di dalam cuaca yang sejuk ini walaupun Almaty baru sahaja musim luruh. Almaty adalah bandar yang paling besar di Kazakhstan. Sekitar 1997 pihak kerajaan telah memindahkah ibu negara dari Almaty ke Astana yang berada di bahagian utara. Bandar ini juga termasuk dalam Laluan Sutera yang menghubungkan perdagangan dari Barat ke Timur. 

Kazakhstan adalah salah sebuah negara jajahan Soviet Union dan telah merdeka pada tahun 1991. Ekonomi negara ini adalah berasaskan industri makanan seperti buah-buahan kering, bijirin dibantu oleh industri tekstil dan industri kejuruteraan yang masih baru dan sedang dibangunkan. Negara ini juga kaya dengan hasil petroleum terutamanya di kawasan barat seperti di Karachaganak  dan Atyrau. Dari segi populasi kaum Kazakh adalah majoriti sekitar 60% diikuti oleh Russian, Uzbek, German, Tartar dan Uyghurs. Penganut agama Islam disini adalah majoriti sekitar 70% diikuti dengan Kristian selebihnya. Bahasa rasmi disini adalah adalah Bahasa Kazakh dan Russia. Pemandangan di President Park adalah sangat cantik dengan dedaunan sudah mula bertukar kekuningan dan banyak juga yang telah gugur di tanah. Pagi-pagi begini hanya terdapat para ibu yang membawa anak kecil bersiar-siar di taman. Dari taman kelihatan jelas puncak-puncak gunung dilitupi salji yang menjadi dinding-dinding utama bandar ini. Aku yang tidak mempunyai perancangan yang jelas terus berjalan dan akhirnya menghampiri sebuah bangunan besar yang dipenuhi oleh anak-anak muda yang sibuk bergambar, mungkin ada rombongan kelas ke sini agakku. Salah seorang dari mereka meminta bantuanku untuk mengambil gambar mereka secara berkumpulan. Dengan tidak semena-mena kesemua mereka mula mengerumuniku dan ingin mengambil gambar bersama dan mula bertanyakan soalan tentang diriku dan tujuanku ke sini. Mereka yang sangat teruja mengajakku untuk ke pusat membeli-belah berdekatan. Disini hanya terdapat gerai makanan segera dan aku tidak mempunyai banyak pilihan dan hanya memesan Burger King. Mereka adalah pelajar universiti tempatan yang mengambil Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pelancongan. Salah seorang dari mereka bernama Aktolmash sangat fasih berbahasa Inggeris dan sering bertanya soalan-soalan mengenai Malaysia dan pengembaraanku sejak sebulan lalu. Sebagai kenang-kenangan, kami mengambil gambar bersama-sama. Mereka akan pulang ke universiti untuk menghadiri kelas dan aku pula akan berjumpa dengan Dana Couchsurfing. 

Kali ini aku berpeluang untuk mencuba Almaty Metro yang hanya mempunyai 9 stesen dan 1 aliran sahaja. Dana menantiku di stesen Moscow yang berada di penghujung landasan. Sekali lagi aku berjalan-jalan di dalam pusat membeli-belah dan kali ini dengan Dana. Beliau bekerja di dalam sumber manusia dan kebetulan mempunyai masa lapang pada tengah hari ini. Kami duduk sebentar untuk minum air sebelum bergerak ke Central Mosque Almaty. Sempat juga berbual-bual dengannya mengenai hal-hal semasa di sini. Katanya terdapat banyak warga asing yang datang dari Krygyztan dan Uzbekistan untuk bekerja. Kazakhstan adalah negara yang paling maju di kawasan Central Asia dan tidak hairanlah ramai yang datang ke sini untuk mencari rezeki. Sampai sahaja di masjid, aku menunaikan solat dan berehat sebentar di dalamnya. Ianya telah dibina sekitar tahun 1993 setelah masjid lama yang telah dibina sejak tahun 1890an telah terbakar. Dana meminta diri untuk pulang terlebih dahulu dan aku mengucapkan terima kasih kerana meluangkan masa untuk berjumpaku hari ini. Pertemuan terakhir pada hari ini adalah bersama Medeya Couchsurfing yang menantiku berhampiran masjid. Beliau adalah cikgu Bahasa Jepun dan baru sahaja habis mengajar dan terus ke sini untuk berjumpa denganku. Medeya sudah berpesan kepadaku supaya tidak ke Green Bazaar terlebih dahulu dan harus pergi ke sana bersamanya. Di sepanjang perjalanan kami banyak berbual-bual mengenai Couchsurfing dan taraf hidup di Kazakhstan yang tinggi. Di Green Bazaar, para peniaganya sangat mesra dan sering menawarkan buah-buahan kering serta kekacang untuk dirasa secara percuma. Kata Medeya, inilah saat yang sering ditunggu-tunggu beliau. Diberi nama Green Bazaar kerana pada masa dahulu disinilah mereka menjual sayur-sayuran hijau. Tetapi pada zaman sekarang pelbagai makanan dijual disini bermula dari rempah ratus, buah-buahan segar dan kering, daging, ikan, sayuran dan segala keperluan harian. Terdapat juga sekelompok peniaga Korea yang telah berhijrah ke negara ini. Kata Medeya memang mereka sudah berhijrah ke sini sejak beberapa tahun yang lalu. Kami kemudian bersiar-siar sekitar Panfilov Park dan aku sedikit hampa kerana tidak dapat melawat Ascension Cathedral yang dalam proses pemuliharaan dan pembaikan. Aku yang agak keletihan mengajak Medeya untuk melepak di kedai kopi. Aku hanya memesan teh hijau kerana Medeya tidak minum kopi. Tidak lama kemudian, beliau mengucapkan selamat tinggal kerana terpaksa pulang awal untuk mengganti kelas rakannya. Fridge magnet Almaty masih belum dibeli dan aku terus keluar mencarinya di kedai-kedai yang dinyatakan oleh Medeya. Setelah hampir 3 buah kedai di lokasi yang berlainan akhirnya aku berjaya mendapatkan fridge magnet dan sehelai baju Almaty untuk adik bongsuku. Aku kembali semula kedai kopi tadi untuk mengambil teksi yang telah dipesan Medeya untuk ke lapangan terbang. Sebaik sahaja sampai di lapangan terbang aku terus ke tandas kerana sakit perut. Mungkin kerana pagi-pagi tadi aku sudah minum air berkarbonat. 

Selepas daftar masuk aku bertemu dengan 2 orang rakyat Malaysia yang ke sini atas undangan MATRADE untuk hal perniagaan dan kerjasama dengan Kazakhstan. Salah seorang dari mereka demam kerana tidak biasa dengan keadaan cuaca di sini. Solat musafirku yang terakhir adalah di surau sebelum aku masuk ke pesawat. Ucapan terima kasih dikirimkan kepada Dana dan Medeya sebelum aku menutup telefonku. Sementara menunggu makanan disediakan, aku mengemaskini catatan harian yang tidak dikemaskini sejak aku di Sanliurfa lagi. Selesai makan aku pun terus tidur dengan nyenyak. Aku terjaga dari tidur apabila terbau roti bakar dengan pesawat baru sahaja melintasi Phuket. Alhamdulillah beberapa jam selepas itu aku selamat mendarat di KLIA dan disambut oleh ibu dan ayahku. Semoga berjumpa lagi di pengembaraan akan datang. Akhir kata, dengan nama Tuhan aku mengembara.

President Park

President Park

Bandar Almaty

Bersama rakan-rakan Aktolmash

Bersama rakan-rakan Aktolmash

Aliran Almaty Subway

Almaty Subway

Dewan sembahyang Central Mosque Almaty

Pintu masuk Central Mosque Almaty

Central Mosque Almaty

Para peniaga di Green Market

Para peniaga di Green Market

Para peniaga di Green Market

Telur ikan salmon

Gerai buah-buahan

Pasar daging

Pasar rempah ratus

Panfilov Park

Glory Memorial

Sekitar Panfilov Park

Glory Memorial

Sekitar Panfilov Park

Ascension Cathedral

Potret jalanan

Almaty International Airport

Semakin hampir ke tanah air

Selamat mendarat di KLIA